PENGERTIAN FALSAFAH - BAB 1 UNTUK SUBJEK FALSAFAH DAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DPLI

BAB 1:  PENGENALAN FALSAFAH

1.0              Pendahuluan

Konsep falsafah tersenarai diantara beberapa konsep yang kebanyakan sarjana pendidikan tidak bersepakat dalam memberi takrif yang jelas dan terperinci.  Konsep ini mempunyai tradisi dan ruang lingkup yang amat luas, yang tidak kurang pula dipenuhi oleh aliran-aliran tertentu. Bab ini akan menghuraikan secara ringkas konsep dan pengertian falsafah, tujuan mempelajarinya dan pendekatan falsafah serta tokoh – tokoh falsafah.

1.1       Konsep Falsafah dan Pengertian Falsafah

 Istilah falsafah (philosophy) berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philos yang bererti suka atau cinta; dan sophia yang bererti kebijaksanaan atau hikmah. Oleh itu, seorang ahli falsafah atau filosof adalah seorang yang cinta kepada kebijaksanaan atau hikmah – love of wisdom. Namun, hikmah dan pengetahuan bukanlah konsep yang sama. Pengetahuan merujuk kepada maklumat sedangkan hikmah mengandungi unsur-unsur kematangan berfikir, jauh pandangan dan memiliki basirah (insight) terhadap setiap tinjauan dan pengamatan yang mana dengan menggunakan pengetahuan semata-mata seseorang itu tidak mampu mencapainya.

Sifat ini jelas terpancar pada diri seorang filosof Greek tersohor, iaitu Socrates yang apabila diberitahu bahawa dia telah dianggap sebagai seorang yang paling bijaksana di Athens, dia telah menafikannya. Malah, dia dengan tegas pula mengatakan bahawa kebijaksanaannya itu adalah kesedarannya sendiri tentang kejahilannya.   Dia tidak mencapai kebijaksanaan tetapi mencari kefahaman tentang isu-isu dalam kehidupan.  Kata Socrates lagi , “aku hanya seorang pencinta kebijaksanaan”.

Mengikut Russell (1946) pula, falsafah  diertikan sebagai sesuatu fahaman atau pengertian di antara teologi dan sains. Ini adalah kerana, seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi terhadap perkara yang belum tepat dibuktikan. Falsafah juga bukanya sains kerana tidak menambah ilmu fakta baru tetapi falsafah berusaha menggabungkan fakta – fakta khusus kepada satu keseluruhan (from part to whole).

Bagi E.D Miller (1984) pula mengatakan falsafah boleh ditakrifkan sebagai usaha untuk berfikir secara rasional dan kritis terhadap perkara-perkara penting. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai satu usaha untuk berfikir yang rasional dan kritis terhadap perkara yang penting mengenai pendidikan.

Sharifah Alawiah Alsagoff dalam bukunya falsafah Pendidikan (1984) pula mentafsirkan falsafah antaranya adalah pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan terhadap perkara yang penting. Baginya juga, falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti, ilmu dan nilai. Menurutnya juga, falsafah adalah kecenderung mengumpulkan rumusannya kepada bentuk mazhab-mazhab atau sisitem-sistem pemikiran. Beliau juga menyatakan falsafah merupakan pendekatan rasional terhadap sesuatu masalah atau persoalan.
Falsafah juga dikatakan sesuatu penyiasatan komprehensif dan logikal mengenai asas-asas pemikiran atas semua aktiviti manusia khususnya dalam bidang sains, seni,agama dan pendidikan. Ringkas kata, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal.

Menurut Sufean Hussin (1996) pula terdapat tiga pendekatan falsafah bagi memahami apa sahaja cabang ilmu yang ada. Pertama,pendekatan deskriptif yang memberi perhatian kepada perkembangan pemikiran tokoh-tokoh filasof dari dahulu sehingga sekarang untuk memahami ape yang telah diperkatakan dan dilakukan oleh ahli filasof yang muncul dalam masyarakat Barat dan Timur. Kedua adalah pendekatan normatif yang memberi perhatian terhadap nilai atau aksiologi sama ada nilai estetika atau nilai etika yang berpandukan pencapaian sesuatu matlamat yang difikirkan perlu sambil menjelaskan sebab keperluannya. Pendekatan ketiga ialah analatik,yang sering digunakan untuk berhujah dalam mencari pertalian bagi mendapatkan gambaran menyeluruh melalui analisis bahasa, konsep, prinsip dan teori.
Profesor Dr. Khoo Kay Kim  menyatakan terdapat dua makna pada falsafah. Pertama, falsafah ialah resepi untuk kehidupan atau cara ideal untuk menjalankan kehidupan. Kedua, falsafah difahamkan sebagai analisis.Sevabai contoh, falsafah sejarah difahami sebagai analisis tentang pengertian ssejarah.

Kesimpulannya secara ringkas, falsafah secara khususnya dapat diertikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari dan membukti kebenaran dan memberi arah tujuan atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Comments

Popular posts from this blog

Sambungan bab1 Falsafah: Pendekatan falsafah

The Descendant of The Sun

Kverts Fashion SHow - Adnan Hassan Collection 2