Sambungan bab1 Falsafah: Pendekatan falsafah

1.3 Pendekatan Falsafah

Kneller (1971) menyatakan bahawa aktiviti falsafah terbahagi kepada tiga cara atau stail iaitu falsafah spekulatif, falsafah preskriptif dan falsafah analitik. Falsafah spekulatif ialah satu cara pemikiran yang sistematik mengenai semua yang wujud sebagai satu keseluruhan. Ia juga satu proses mencari susunan dan keseluruhan yang tidak hanya tertumpu kepada satu item atau pengalaman tetapi kepada semua pengetahuan dan pengalaman. Cara pemikiran yang sistematik tentang sesuatu yang wujud, iaitu berdasarkan hakikat bahawa memang menjadi fitrah manusia berkeinginan untuk melihat sesuatu secara keseluruhan yang bermakna. 

Misalnya apabila kita melihat pemandangan yang indah, fikiran kita biasanya tidak tertumpu pada keindahan itu semata-mata, tetapi akan menjelajah ke perkara lain yang lebih khusus yang mewujudkan keindahan itu. Cara ahli falsafah spekulatif ini dapat dilihat melalui perbuatan kita sehari-hari. Falsafah spekulatif berusaha untuk mencari satu persepaduan dan pertalian bagi semua pemikiran dan pengalaman. Ringkasnya,  falsafah spekulatif ialah satu usaha untuk mencari satu kesepaduan bagi semua pemikiran dan pengalaman. Tujuannya adalah untuk memahami semua perkara yang berbeza yang ditemui bersama dan membentuk satu keseluruhan yang bermakna.  
Falsafah Preskriptif adalah stail falsafah yang cuba menetapkan standard bagi mempertimbangkan nilai, kelakuan dan menghargai seni. Dengan itu, perlu bagi mereka mencari dan mengesorkan prinsip-prinsip untuk menentukan tindakan dan kualiti dianggap baik dan berfaedah. Nilai etika dan nilai estetika diberikan garis panduan dengan menentukan nilai itu wujud semulajadi atau projeksi fikiran kita semat-mata. Ia juga mengkaji apa yang dikatakan baik dan buruk, betul dan salah, cantik dan hodoh, dan sebagainya (Mustafa et. all). Dalam etika dan agama, tindakan moral ditentukan oleh sumber yang berautoriti, iaitu Tuhan. Sebarang penentangan dianggap tindakan moral yang negatif.Dalam ilmu pengetahuan, status preskiptif bermaksud sesuatu hukum menjadi prinsip yang utuh dan memastikan bahawa benda terjadi seperti yang sepatutnya berasaskan prinsip yang ditentukan. 
Selain itu, falsafah ini turut bertanyakan sama ada kualiti tersebut terdapat pada perkara itu sendiri atau hanya muncul daripada pemikiran kita sahaja. Misalnya, kepada ahli psikologi, pelbagai bentuk tingkah laku manusia dari segi moral adalah tidak pasti baik buruknya, namun kepada ahli falsafah preskriptif, ia sentiasa berusaha untuk mencari dan mengesyorkan prinsip untuk menentukan apakah tindakan dan kualiti yang berfaedah, dan kenapa ianya harus begitu. 

Falsafah analitik ialah stail falsafah yang banyak memberi tumpuan kepada perkataan dan makna perkataan-perkataan tersebut. Apa yang dikaji ialah perkara seperti sebab musabab, fikiran, kebebasan dan peluang yang sama agar makna perkataan itu dapat dikaji dalam pelbagai konteks. Makna perkataan itu mungkin bercanggah jika digunakan dalam konteks yang berlainan. Cara inilah yang mendasari falsafah bahasa. Ia juga menganalisis kenyataan-kenyataan spekulatif dan preskriptif dalam usah untuk mempertimbangkan makna-makna yang berbeza dalam konteks yang berlainan. 

Falsafah ini turut menunjukkan bagaimana ketidakseragaman mungkin timbul apabila makna yang sesuai dalam konteks tertentu telah dibawa dalam konteks yang berlainan. Falsafah analitik bersifat berhati-hati, skeptik dan tidak begitu cenderung untuk membina sistem-sistem pemikiran. Falsafah analitik juga berpendapat kebanyakan masalah dalam falsafah bukan berkaitan realiti muktakhir, kebenaran atau nilai, tetapi adalah berkaitan dengan bahasa yang kabur iaitu tidak berupaya mengemukakan pandangan yang jelas.

Falsafah analitik tidak mengemukakan apa-apa pemikiran tentang alam, ilmu atau nilai kerana tugas falsafah ini hanya penjelasan makna melalui analisis bahasa, logik dan saintifik. Falsafah analitik boleh difahami sebagai suatu kaedah berfalsafah yang menggunakan logik dan analisis hujah secara teratur dengan tujuan untuk menyelesaikan sesuatu masalah falsafah. Pendekatan ini mirip pendekatan yang digunakan di dalam bidang sains dan matematik, di mana sesuatu masalah itu boleh diungkapkan secara jelas, dan keputusan dicapai melalui penyelesaian yang memenuhi kriteria tertentu dan dipersetujui oleh masyarakat ilmiah tersebut.

Kesimpulannya, falsafah spekulatif, falsafah preskriptif dan falsafah analitik tidak semestinya berpisah, malah dalam pelaksanaannya, ketiga-tiga falsafah itu cenderung untuk bergabung.

Comments

  1. eemm..someone copy this ...could you just said thank you :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

The Descendant of The Sun

Orange marmalade - another vampire ^o^ story